LANGKAH MENJIMATKAN PENGGUNAAN SUMBER TENAGA

0
238

Mendepani realiti baru dunia yang pantas, secara tidak sedar masyarakat Malaysia kini tidak bertanggungjawab dalam penggunaan sumber tenaga seperti elektrik, air dan bahan api. Majoriti daripada mereka hanya tahu menggunakannya sahaja tetapi tidak tahu cara penjimatan. Pihak berautoriti telah melaksanakan pelbagai prakarsa untuk memastikan masyarakat bijak dalam penjimatan sumber tenaga. Namun, sekiranya segelintir masyarakat sudah cekap dalam penggunaan sumber tenaga dalam kehidupan seharian mereka, ia dapat membatu masyarakat yang lain ke arah penjimatan. Persoalannya disini, apakah langkah-langkah menjimatkan penggunaan sumber tenaga?   

Membincangkan soal inisatif-inisiatif yang wajar dilakukan bagi menjimatkan penggunaan sumber tenaga dalam kehidupan seharian, masyarakat khususnya perlulah menggunakan sumber air secara bijaksana. Inisaitif ini dapat mengelakkan daripada berlakunya catuan air yang akan menyukarkan aktiviti harian mereka. Masyarakat perlulah mengorak langkah awal dalam menggunakan air bersih hanya untuk kegunaan makan dan minum. Misalnya, masyarakat juga perlulah sentiasa membuat persiapan awal seperti menadah air dengan lebih awal sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya di kediaman mereka tidak mempunyai air. Dengan ini, masyarakat turut dapat menjimatkan air serta mengurangkan kadar meter air yang digunakan di rumah.

Meninjau skop yang lebih luas, pihak sekolah berperanan untuk memberi tunjuk ajar kepada para pelajar tentang langkah-langkah penjimatan air. Para pelajar seharusnya diberi tunjuk ajar dengan lebih awal agar mereka dapat mengamalkan lanhkah-langkah penggunaan air dengan bijak dalam kehidupan seharian. Biar kita ambil contoh, para pelajar menadah air untuk dijadikan sebagai air untuk menyiram pokok. Bukan itu sahaja, para pelajar juga boleh mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menggunakan sumber air dalam kehidupan seharian. Dengan ini, para pelajar dapat melatih diri supaya tidak melakukan pembaziran sumber air secara berleluasa.

Menilai dari perspektif yang berbeza, pihak kerajaan hendaklah menggalakkan masyarakat Malaysia untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Fokus dominan bagi prakarsa ini adalah bagi menggalakkan masyarakat menjimatkan penggunaan bahan api. Dengan ini, masyarakat tidak perlu acap kali menggunakan bahan api seperti minyak petrol. Sebagai contoh, masyarakat di bandar yang menggunakan kemudahan sistem transit aliran ringan (LRT) dan komuter sebagai pengangkutan utama mereka untuk ke tempat kerja. Impak daripada usaha ini ialah kadar penggunaan bahan api seperti petroleum sedikit sebanyak dapat dijimatkan walaupun perubahannya tidaklah secara drastik.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan, pihak kerajaan perlulah mengadakan kempen kesedaran bagi menggalakkan masyarakat mengurangkan penggunaan sumber elektrik. Hal ini demikian, dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan penjimatan sumber elektrik kepada mereka. Kempen yang diadakan di sekitar kawasan perumahan dapat memudahkan masyarakat untuk pergi melibatkan diri dalam kempen yang diadakan. Contohnya, kempen kesedaran yang diadakan di setiap negeri bagi mendedahkan kepada masyarakat langkah-langkah menggunakan sumber elektrik dengan berhemah.

Secara konklusinya, semua pihak haruslah bersatu padu bagai aur dengan tebing dalam memastikan langkah-langkah penggunaan sumber tenaga dengan cermat dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam kalangan masyarakat Malaysia. Memandangkan, pada zaman era globalisasi yang pesat ini, sumber tenaga seperti air, elektrik dan bahan api banyak digunakan untuk kegunaan pelbagai sektor demi meningkatkan ekonomi negara. Oleh itu, masyarakat perlu bijak dalam penggunaan sumber tenaga untuk digunakan pada masa akan datang. Diharapkan supaya seluruh rakyat Malaysia mengambil inisiatif dalam memupuk kesedaran atas kepentingan penjimatan sumber tenaga di negara kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here