PENJANA MERINGANKAN BEBAN PEMBELI RUMAH

0
191

Setelah beberapa bulan rakyat Malaysia sama–sama menempuh kesukaran dalam memutuskan rangkaian Covid–19, terdapat beberapa masalah yang timbul termasuklah ekonomi negara yang jatuh merundum, peluang pekerjaan yang semakin berkurangan dan pertambahan bilangan graduan yang menganggur. Masalah-masalah seperti ini telah pun menyukarkan hampir keseluruhan rakyat di negara ini. Tambahan pula apabila ia melibatkan kenaikan harga rumah yang semakin lama semakin tidak mampu dimiliki. Justeru, kerajaan kini telah memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membantu ekonomi di Malaysia. Antara inisiatif tersebut adalah dengan memperkenalkan Pelan Jana Semula Sektor Ekonomi Negara atau PENJANA.

Hasrat Perdana Menteri melalui PENJANA ini adalah untuk menyokong sektor ekonomi dalam norma baharu dengan merangkumi tiga teras iaitu memperkasakan rakyat, melonjak perniagaan dan merangsang ekonomi. Pelan ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu sebagai langkah dalam membantu memulihkan sektor hartanah di Malaysia. Melalui pelan ini, kerajaan membelanjakan sehingga RM 35 bilion bagi memastikan pelan ini sampai kepada masyarakat yang disasarkan untuk membantu sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid–19.

Dengan pelaksanaan PENJANA ini, kerajaan mengorak beberapa langkah dalam merancakkan pertumbuhan sektor hartanah di negara kita. Antaranya adalah dengan mengembalikan semula Kempen Pemilikan Rumah. Kempen Pemilikan Rumah ini telah pun diperkenalkan pada awal tahun 2019 yang lalu dan dilanjutkan hingga Disember 2019. Namun, akibat gejala pandemik yang berlaku baru–baru ini, kesukaran dalam masyarakat kita untuk membeli sebuah rumah telah pun membuka hati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menguatkuasakan kembali kempen HOC ini mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021. Melalui kempen tersebut, pengecualian duti setem 100% akan dinikmati oleh pemohon yang berjaya ke atas instrumen pindah milik untuk perjanjian pinjaman bagi sebarang pembelian rumah kediaman yang bernilai dari RM 300,000 hingga RM 2.5 juta. Pengecualian duti setem ini adalah terhad kepada RM 1 juta pertama sahaja.

Selain itu, pelaksanaan PENJANA ini juga memberi pengecualian kepada individu warganegara Malaysia dalam Cukai Keuntungan Harta Tanah sekiranya mereka ingin melupuskan rumah kediaman mereka. Pengecualian ini telah bermula dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021 dan ini dihadkan kepada pelupusan tiga unit rumah kediaman untuk setiap individu. Di samping itu, had pembiayaan pinjaman rumah ketiga dan seterusnya yang bernilai RM 600 ribu ke atas tidak lagi tertakhluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah sepanjang tempoh program HOC ini, namun ia adalah tertakhluk kepada pengurusan dalam institusi kewangan.

Berikutan gelaja pandemik Covid–19 ini, Laporan Pasaran Harta Tanah pada suku pertama tahun 2020 telah menunjukkan kemerosotan bilangan unit transaksi sebanyak -9.9% dan ini dilihat penurunannya sebanyak -14.4% jika dibandingkan dengan suku pertama pada tahun sebelumnya. Oleh itu, pelaksanaan PENJANA ini menjadi inisiatif dalam memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk memiliki rumah kediaman mereka. Hal ini adalah disebabkan kos pembelian rumah akan menjadi lebih murah. Pada masa yang sama kemerosotan bilangan unit transaksi juga akan dapat dihalang daripada terus berlaku.

Jadi, di sini kita dapat melihat bahawa dalam ketika barisan hadapan terus menerus menjadi pertahanan untuk negara dalam memerangi wabak ini, kerajaan terus menerus membantu kesusahan yang dihadapi oleh rakyat. Malahan, organisasi tertentu seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) juga menyuarakan sokongan mereka terhadap kerajaan dalam membantu pertumbuhan ekonomi. Insentif yang dirancang oleh kerajaan ini dilihat akan mengurangkan serba sedikit beban rakyat untuk membeli rumah. Kepercayaan ini dibenarkan dan disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rahim & Co Agensy, Siva Shanker dalam ucapannya ada menyebutkan bahawa insentif yang diumumkan oleh kerajaan ini mampu menjadi pemangkin untuk merangsang perkembangan pasaran hartanah tempatan pada tahun ini.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya bersyukur dalam apa jua keadaan kerana kita diberikan limpah kurniaan untuk menjadi diantara manusia yang beruntung mendapatkan sebuah kerajaan dan badan organisasi yang prihatin terhadap kebajikan rakyat tempatan. Di samping itu, bolehlah kita mengorak langkah dalam sama–sama menjayakan kempen ini mengaut keuntungan yang ditawarkan oleh kerajaan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here