PERBEZAAN ANTARA TAKAFUL DAN INSURANS

0
218

Takaful dan insurans memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan kewangan sekiranya perkara yang tidak diduga berlaku kepada anda mahupun keluarga. Misalnya, apabila anda mengidap penyakit kritikal, terlibat dalam kemalangan, mengalami kerugian harta benda, ataupun kematian.

Kelihatan pada kedua–dua takaful dan insurans ini merupakan satu benda yang sama tetapi pada pokok pangkalnya, terdapat beberapa perkara yang membezakan antara kedua–dua pelan ini. Hal ini hangat diperkatakan dalam perbualan masyarakat Malaysia kerana umumnya mereka masih keliru dengan ketidaksamaan pelan–pelan ini.

Jadi apakah perbezaannya?

Pada asasnya, insurans melibatkan persetujuan antara orang yang dijamin iaitu anda dan syarikat insurans merupakan badan yang akan menanggung risiko. Persetujuan ini dikenali sebagai polisi, dan anda perlulah membuat bayaran samada secara bulanan atau tahunan sekiranya anda ingin menjadi pemegang polisi untuk menerima perlindungan. Bayaran yang dibuat oleh pemegang polisi ini dipanggil sebagai premium. Premium yang dibuat akan dilaburkan oleh syarikat insurans. Di sini, anda tidak mempunyai kuasa dalam pemilihan cara duit anda itu dilaburkan dan ini mungkin melibatkan perniagaan yang tidak mematuhi prinsip syariah, termasuklah perniagaan yang mempunyai unsur perjudian, riba dan berisiko tinggi.

Manakala, Takaful pula boleh dianggap seperti insurans versi Islamik, namun terdapat perbezaan pada prinsip dan kaedah bagaimana Takaful beroperasi. Secara umumnya, pengguna Takaful adalah majoritinya daripada orang yang beragama Islam, namun ia tidak terhad malah terbuka juga untuk orang yang bukan Islam untuk sama–sama melanggan dan menerima manfaat Takaful. Seperti dalam insurans konvensional, Takaful menawarkan pelbagai jenis pelan yang merangkumi perlindungan hayat, takaful keluarga, perubatan, pendidikan, pelaburan, dan banyak lagi.

Selain itu, di dalam Takaful, pengendali juga akan melaburkan sumbangan anda sama seperti insurans. Walaupun begitu, hanya perniagaan patuh syariah sahaja yang berkelayakan. Melalui perlaksanaan ini, bebanan yang difikirkan tentang ke mana dan bagaimana ia beroperasi dapat diringankan kerana duit anda pasti disimpan dalam skim yang mematuhi syariah agama. Namun, berdasarkan kontrak Takaful, perjanjian yang dibuat adalah berlandaskan konsep Ta`awun (tolong–menolong, jamin menjamin dan bersedekah). Hal ini kerana bayaran yang dibuat tidak dipanggil bayaran tetapi caruman kerana ia berkonsepkan sedekah. Konsep ini pernah diamalkan pada zaman Nabi yang dipanggil sistem Aqilah malahan orang Melayu juga turut menggunakan konsep ini sebagai Kharait Kematian. Jadi, ini bermakna peserta atau pemegang pelan Takaful bukan sahaja dapat melindungi diri mereka sendiri apabila ditimpa musibah, tetapi juga memberi bantuan kepada peserta Takaful lain yang berkelayakan.

Setiap kali para peserta membayar sumbangan atau caruman bagi pelan Takaful mereka, sebahagian daripada jumlah sumbangan tersebut akan disalurkan ke Dana Tabarru`. Dana ini akan digunakan untuk membayar pampasan kepada peserta yang membuat tuntutan yang perlu dibayar. Sebahagian lagi sumbangan mereka akan ditolak sebagai bayaran Caj Wakalah kepada pengendali Takaful kerana melaksanakan tugas sebagai “Wakil” dalam menguruskan perkhidmatan yang tersedia di bawah pelan.

Setelah dibahas, kebiasaannya ramai yang akan memilih ke arah insurans konvensional berbanding Takaful. Hal ini sudah terang lagikan bersuluh kerana keuntungan yang bakal diperoleh oleh pemegang polisi di dalam insurans konvensional akan lebih tinggi dan murah berbanding pemegang skim Takaful. Salah satu sebabnya adalah berpunca daripada tempoh pertapakan insurans konvensional yang lebih lama berbanding Takaful. Bayangkan sahajalah pada tahun 2015, Prudential sudah pun menyambut ulang tahunnya yang ke–91 namun takaful pula masih lagi berjinak–jinak dalam 10 tahun terawalnya.

Jadi, sekiranya anda seorang muslim, anda amatlah digalakkan untuk menyokong produk Takaful ini demi kelangsungannya. Hal ini memang kelihatan tidak begitu rugi untuk kita, namun fikirlah keuntungan yang bakal diterima oleh generasi akan datang sekiranya Takaful ini digunakan pakai oleh majoriti rakyat di Malaysia ini.

Sebagai rumusan, Takaful mampu menyediakan satu jaringan keselamatan kewangan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Jika anda belum dilindungi, kami mengesyorkan anda melanggan pelan Takaful. Sama ada anda mengalami penyakit kritikal, kehilangan upaya mahupun kematian yang tidak dijangka, Takaful memastikan bahawa anda dan orang tersayang anda menerima pampasan dan perlindungan sewajarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here